Monday, 23 May 2022

Kenduri kahwin di Hurry Raya 2022

Di kala lagu "Selamat Hari Raya" berkumandang, terselit lagu, "Selamat Pengantin Baharu".
Kenduri kahwin merangkap open house ni..heheheh.

Hujung minggu pertama Syawal, seorang lagi cousin off the market.
Cousin ai muda-muda ye.
Oleh itu, ramai lagi yang masih single and available tu.
Hantar lah proposal kalau rasa-rasa nak jadi family yang penuh meriah.
Yang masih bersekolah pun ada lagi. Dah serupa pangkat anak dah.
See, betapa jauhnya jarak usia weolls. 

Sampai-sampai kenduri terus ke meja makan..walaupun baru jam 11 lebih masa tu.
Taklah lapar lagi, tapi tengok tak ramai orang lagi so moh le kita jamu selera siap-siap.
Boleh makan dengan tenang. Lauk pun baru bukak tutup tu, tengah banyak lagi. 
Cuma masalahnya, makan awal, lapar pun awal. Hahahhaha.


Yang perempuan ni cousin nya. Anak sulung dalam keluarga. Tahniah ye pengantin, semoga kekal bahagia hingga ke syurga. Tengok warna baju pengantin tu, syukur last minute tukar baju. Kalau tak, orang confuse mana satu pengntinnya..kononnn.. hahahaha. Warna sama, nude.  

Jejaka berbaju kuning mustard belah kanan berdiri tu, bapak pengantin merangkap pak sedara kita. 
Antara semua mak pak sedara, achik ni yang agak rapat. 
Masa zaman belajar kat Shah Alam dulu, selalu habiskan beras dan gula kat rumah dia.
Asal weekend je, muncul la anak sedara nya dengan muka tak malunya, tidur makan kat sana.
Sampaikan bila berlaku peristiwa tragik "orang minyak" kat kolej pun, lari ke rumah dia.
Takut beb nak duduk kat kolej, takut kena calit dengan minyak.
Mohon halalkan segala makan minum terpakai sepanjang menyibuk kat rumah dulu ye. 
Jejaka yang duduk segak dengan baju melayu warna sama dengan bapak pengantin tu, bapak kepada bapak pengantin merangkap atok kita semua.  
Cucu dah ramai. Cicit pun bercambah dengan jayanya. Piut je belum ada lagi. 
Cicit paling tua baru umur 16 tahun, lambat lagi la nak makan nasik minyaknya.
Atok ai ni 90an dah umurnya ye, sebaya dengan Tun M. 
Atok tak berapa nak cam dah cucu cicitnya, nak-nak yang "selalu" sangat balik kampung.
Dalam pada tu, sempat lagi lontarkan soalan nakal kat cucunya ni, bertanya "dah ada ke orang tanyakan cicitnya ni".. Cicitnya tu merujuk kepada NF. Gelak besar kitorang.
Sekolah lagi Tok. 

Masa ni pengantin pergi makan. So, kita ambil gambar kenangan di pelamin pengantin.
Dua-dua jejaka kat depan tu pemandu gantian untuk bawak mak pak balik kampung.
Tu je adik beradik yang available ikut balik sekali.
Kiri tu single but not available.
Kanan tu pulak, bujang 3, tapi berani ko nak kena parang dengan isteri dia...hehehhe. 


Petang tu terus bergerak balik kala kerisauan mendengarkan jammed teruk kat highway sana.
Bukak waze pun, merah di sana sini.
Kita yang tak berapa nak muda ni pun jenuh duduk berlama-lama dalam kereta.
Inikan pulak mak pak kita kan. 

Hajat hati nak pergi beraya sambil kutip duit raya kat rumah mak pak sedara kat sini. 
Majoriti memang duduk dekat-dekat sini je.
Tapi semua dah berkumpul kat rumah pengantin ni, tak tau bila nak undur dirinya.
So, kita yang muda ni la yang terpaksa mintak undur diri dulu.
Jauh lagi perjalanan ke destinasi seterusnya ni..hari pun dah lewat petang.
Sempatlah menapau apam balik nipis 10 keping dari kenduri pengantin.

Alhamdulillah, perjalanan ke tanah tumpahnya darah pejuang tanahair menentang British, berjalan lancar. Ikut waze je. Mujur tak dibawanya ikut jalan pelik-pelik.
Haishhh..penah terkena sebelum ni.
Dibawaknya jalan lalu kebun kelapa sawit kiri kanan. 
Jalannya pun style jalan kampung, tak bertar pun.
Tiba-tiba je sampai kat jalan mati...hahahhah..mujurlah hari siang masa tu.
Jejaka gagah pun ada kat sebelah.
Kalau sorang, panic attack maybe.

Disebabkan terlalu awal sangat makan tengah harinya tadi, sebelum jam 7 malam, dah bukak bungkusan makan malam. Laparudin, tak boleh tahan.
Takpalah, orang lain tak nak makan lagi.
Biarlah kita melampiaskan nafsu makan ni secukupnya.
Semua orang tau, bila lapar, mak dia boleh jadi hijau. 
So, baik la semua orang duduk diam-diam..heheheh.





Friday, 20 May 2022

Hurry Raya 2022 part 2

Tahun ni mak mertua beraya di Melaka. 
So, marilah kita beraya di sana juga.
Maka bermula, trip beraya di atas jalan di Raya kedua😄.

Raya dan jammed bagai aur dengan tebing.
Menguji sejauh mana kesabaran dan kesucian mulut yang dipupuk sepanjang Ramadan tempoh hari.
Untuk elak perkara-perkara tak diingini, boleh bawak jajan sebanyak mungkin, karoks sepanjang jalan. Membaca tak begitu praktikal, pening bila dalam kereta.
Kalau nak dapat pahala lebih, berzikirlah, moga hati terus tenang.
Jangan lupa, "membuanglah" siap-siap sebelum tayar bergerak.
Haru kalau tengah jalan tiba-tiba ada muncul resa tu. Nak-nak bila sampai RnR, toilet penuh. 
Bersenandunglah tepi-tepi jalan mana yang sesuai. 
Ada kawan bercerita, beberapa tahun lepas, jalan memang jammed teruk, maknya dah tak mampu menahan panggilan alam, makanya terpaksalah beroperasi di tepian jalan saja.
See, kesan jammed tu, menyeramkan....

Otw ke Melaka tu, singgah sarang dulu.
Tanggungjawab kepada si bulus perlu dilangsaikan. Kesian dia kena tinggal.
Sempatlah buat pertukaran baju apa yang patut. 
Sambil-sambil tu duk berdoa, janganlah ada budak-budak bagi salam kat luar.
Kuih apapun tak masuk dalam bekas lagi. 😅
Semua tak ready lagi. Maafkan tuan rumah ye.

Beraya di Melaka seronok sebenarnya.
Banyak rumah boleh ziarah. 
Saudara mara belah sana ramah yakmat, rasa kedatangan kita sangat dialu-alukan.
Tapi tu la, nak menghadap jammed yang tak koser.
Mujur makanan sedap-sedap yang dijamu, menyejukkan hati..hehehehhe.

Malam baru balik ke sarang, rumah adik ipar.
Tu pun ada lagi rumah tak sempat singgah.
Mau kalau sampai awal ke Melaka, banyak lagi sesi ziarah ni.
Tapi memang perut kenyang, hati senang...lalalallalalala.

Rezeki NF dapat jumpa sepupu Langat kat sini.
Bertambah meriah la sesi ziarah tu...hehehehhe.
The more the merrier. 


Elders rancak bersembang, depa rancak makan nasik. 
Bukan main menikmati makanan sampai tak bangun-bangun dari situ.
Rupa-rupanya makan nasik berlauk udang besar. 
Patutlah conquer meja makan tu. 


Begitu tergambar keletihan di wajah masing-masing. 
Ni rumah ke berapa tah. Tapi yang pastinya bukan yang terakhir.
Setiap rumah ada menu berat, menambahkan kekenyangan dan automatik tahap kemengantukan pun bertambah dengan jayanya. 

Raya dan diet? 
Satu hubungan yang sama sekali gagal dan takkan bertaut mesra.









 

Thursday, 19 May 2022

Hurry Raya aka Raya Terkejut 2022 😅 part one

Kita masih dalam bulan Syawal lagi.
So, Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Walaupun "tiba-tiba hari Raya.. semua insan huru hara 🤣🤣🤣". 
Apapun, Raya tetap Raya.
Musim PKP hari tu pun kita Raya kan. 
Ini kan pulak boleh bersua muka berhari raya dengan mak ayah kan. 

Hari Ahad, 1 Mei tu, berbuka puasa kat mamak. 
Masih di rumah sendiri, cadangnya nak balik ke kampung esok. 
So, santai-santai je la kan.
Lepas Isyak, kita tunggu nak terawih, tiba-tiba dapat perkhabaran, Raya esok 😅. 
Ehh.. baru je sembang dengan boipren masa kat mamak tadi pasal tarikh Raya. 
Dua-dua sepakat dan confident je kata Raya Selasa, walaupun rumours kata Isnin.
Al-maklum, sehati sejiwa kan..ahaksss.
Cuaca pun nampak gloomy je, so confirm la tu tak nampak anak bulan... hahahhaha, padahal depa tu tengok pakai teropong khas kot, bukan pakai mata kasar je.
Sekali, hambekkkk. Terkejut, terpaku, terkujat, dan segala mak nek terrrr laaaa...

Walaupun kita takda la nak masak semua, tapi tetap rasa kelam kabut jugak. 
Nak balik kampung kan... baju semua belum kemas. Baju raya pun belum gosok 😅. 
Kain baju angkat di ampaian pun belum berlipat. 
Rumah pun bersepah jugak, tunggu sentuhan tangan dan seruan mengemas.
Langsir je yang dah gantung siap.
Cadangnya, esok la nak balik kampung nya. 
Udah Raya pulak esoknya tu. 
Mujur takda sesi masak memasak sendiri. Kalau tak, mau keras, apa barang semua takda. 
Dengarnya kat kampung, mak dah siap merendang petang tadi. 
Firasat orang tua, usah dipertikaikan.

Tahun ni ada beberapa trip raya atas jalan so baju patutnya perlu dikemas ikut trip tu.
KL - Melaka - Perak. Tiga tempat, tiga pakej baju perlu difikirkan. Standard mak mak kan.
Baju siang, baju malam, hat dalaman. Perempuan pulak, kena fikir tudung hari ni, tudung esok, dan macam-macam lagi. Tu yang kalau boleh, almari pun nak bawak balik kampung, senang, bukak dan pilih je baju mana nak pakai, tak payah susah-susah 😁.
Selalunya sebelum ni memang ambil masa lama nak kemas semua baju bajan tu. Konsepnya biar berlebih, jangan berkurang. A to Z, kena complete.
Dah kelam kabut macam ni, kemas mana dan je lah. Capai je lah mana yang nampak.
Yang paling menyenangkan, masing-masing asingkan siap-siap baju apa nak dibawa, so nanti kerja mak masukkan dalam beg je. 
Kerja gosok menggosok pun, anak gosok baju dia sendiri, sambil mak selit la jugak baju Raya 5 - 6 pasang 😁. Dah alang-alangkan....
Baju untuk trip atas jalan tu kita fikir kemudian la. 
Tak larat kakak nak fikir 😅. 
Lagipun mengenangkan, nanti kita balik rumah dulu, singgah dan angkut mana yang tak cukup.

So, pukul 12 lebih tangah malam akhirnya berjaya meloloskan diri dari rumah.
Risau, lambat-lambat sangat, kena tidur luar pulak malam-malam Raya ni..tukang bukak pintu dah selamat beradu. 
Hahahahah, tak pernah dibuat tengah malam buta balik kampung.
Apa nak buat, tak sanggup pulak nak gerak pagi-pagi esok sebelum Subuh.
Atas jalan sambil dengar takbir Raya.. haishhh...cannot...

Pukul 1 pagi jugak sampai kampungnya 😅.
Biasanya kereta tak banyak pun atas jalan kalau balik sehari sebelum Raya ni. 
Kali ni, banyak pulak kereta, mungkin semua pun tukar plan macam kitorang. 
Kelam kabut balik kampung semua. 
Mujurlah kampung kita sepelaung je dari rumah.
Bak kata member, kentut pun boleh dengar 🤣🤣🤣.

Pagi-pagi Raya tu, awal dah bangkit. 
Chef dah bagitau, nak masak rendang ayam dan kuah lodeh pagi tu. 
Macam biasa, part pembantu Chef adalah potong memotong, basuh semua bahan, dan kacau lauk atas dapur. Air tangan Chef tak boleh diganggu gugat, nanti tak kena dengan tekak pemakan tegarnya 😅. 
Menu lain macam rendang tok, rendang hati, kuah kacang, nasik impit, semua mak dah settle kan semalam. So, takda la kalut sangat pagi-pagi Raya tu.

Dah lepas siap semua, hidang atas meja, barulah kita bercantik-cantikkan... Masalahnya, cantik kerrr? 😆. Tema tahun ni pinky pinky. 
Alhamdulillah, dapat berkumpul semua belah petang Raya tu. 
Orang Rembau sampai petang.
Maka, cukuplah korum anak menantu dan cucu-cucu mak dan abah semua.
Bila cukup korum cucu-cucunya maknanya, berjaya menambah kebisingan ke tahap maksima kat rumah.
8 orang je pun, tapi bisingnya macam nak runtuh rumah.
Mujur yang dulu-dulu suka menjerit, dah "matang" sikit. Boleh kawal perasaan.



Cousins tak cukup korum. Hat belah kanan tu entah macamna boleh duduk statik je tu. Satu pencapaian perlu dibanggakan 


si kecil, Wahida, new edition of the family 

Thursday, 12 May 2022

Kisah majlis pasca PKP aka seminggu lepas Raya

9 Mei 2022.
Apa ada dengan tarikh tersebut?

Gara-gara tarikh tersebut, cuti raya terpaksa dipendekkan.
Kalau tak, hari tu tengah seronok seronok makan angin kat CH sambil makan scones 😅.

Tarikh tersebut telah dipilih untuk penganjuran majlis di jabatan. Di kala ramai yang masih menyambung cuti raya, kitorang segelintir warga ni tengah bertungkus lumus pastikan majlis berjalan lancar. 

Kiranya, dah lama tak jadi urus setia majlis, sejak PKP hari tu. Kekok jugak jadinya. Mujur ada team yang bagus, dan boleh diharap sangat. Hari raptai petang tu, kakak tak dapat join, masih menyapu jem di atas roti atas jalan sambil melihat pemandangan kereta saujana mata memandang 😅.
Malam baru sempat join. Tak sampai hati pulak nak biarkan team terkontang kanting tanpa mak hayamnya, walaupun ikutkan hati nak landing atas katil je, badan letih giler kot. Baru sampai rumah kan.

Sebenarnya, majlis kali ni kecil tapi besar. Hah, macamna tu 🤣.
Kecil sebab sekejap je tempoh berlangsungnya (walaupun preparation nya, sejak sebelum cuti raya lagi). Yelah, kecil atau besar, tetap kita kena ambil serius preparation semua kan. 
Besar? Sebab ada PM 😅. dan ada beberapa YBM lagi. MK, TokPa, etc. 
So, sangat banyak yang perlu ditengok betul-betul. Karang tak memasal, ehem..ehemmm 🤭. 
Kita buat je la yang terbaik dan termampu. Selebihnya, berserah sahaja.

Kerja-kerja protokol dan sambutan diserahkan kepada bahagian ni. Tapi serahan dilakukan last minute 😅. Sepatutnya bahagian lain, entah macamana tertepis ke sini jugak.
Memanglah selama-lama ini, bahagian ini yang handle bab tu kalau ada majlis tapi apa salahnya kalau kita bagi peluang bahagian lain jugak. Alaa... mesti boleh punya buat.
Kita memang bermula dengan zero kan, sebelum pandai sesuatu. 
kitorang pun taklah pandai mana pun, masih merangkak-rangkak, sentiasa je belajar dengan Istiadat.

Disebabkan sangat last minute, so ada la jugak hawa-hawa panas bila meeting dengan induk. Masing-masing tension gamaknya, 
Raya bakal menjelang beberapa hari lagi, duk kalut sembang pasal persiapan majlis ni pulak, bukan sembang pasal persiapan raya. 
Semua bakal bercuti panjang kalau ikut perancangannya, so banyak hati-hati manusia yang perlu dijaga. Banyak perkara perlu dipertimbangkan, libatkan banyak pihak.
Namun, berkat kesabaran lebih sempena Ramadan, semua berjalan dengan agak baik.
Kalau tak kenangkan Ramadan, mungkin perang boleh tercetus jugak tu...hahahahha.
Mujur saitonirajim diikat.

Apapun, satu benda yang kita semua kena ingat, walaupun sehebat manapun perancangan dan persediaan kita, takkan mampu melawan ketentuan Tuhan.
Masa hari kejadian, di kala semua berjalan lancar, tiba-tiba berlaku sesuatu yang "mengerikan" 😅.

Sebaik selesai majlis, ada jamuan makan tengahari so semua tetamu VVIP/VIP bergerak ke dewan makan. Salah seorang VVIP patutnya tiada dalam senarai di dewan makan sebab dimaklumkan yang beliau puasa dan akan terus beredar selepas majlis.
Sekali lagi, kejadian last minute berlaku 😅. Agaknya beliau berfikir panjang masa majlis dan buat keputusan join sekali.
Beliau juga ke dewan makan, yang telah siap di tagging nama sesuai kehadiran sepatutnya.
Kita dimaklumkan beliau tak join makan, so kerusinya dah takda 🤕. 
So?
Memang tak sempat buat apa dah.
Kita kat luar ni gelabah giler kot, ko tengok aku, aku tengok ko 😅.
Selebihnya, semua dah jadi sejarah.

Maafkan kami. Ampunkan kami. 
Insan kerdil yang tak berdaya 😅.

Wednesday, 20 April 2022

Ramadan Pasca PKP

Alhamdulillah.
Ramadan tiba... Ramadan tiba...
Diam tak diam, telah masuk minggu ketiga kita berpuasa.
Sikit hari lagi, dah Raya.
Baju raya dah ada ke?
Raya kali ni mesti lagi meriah, almaklum dah 2 tahun Raya PKP kan...hehehehe.

Ramadan kali ni, berpuasa berdua saja di rumah. 
Suami tengok muka isteri. Isteri tengok muka suami. Hehehehe..
Anakanda dah balik ke sarang. 


Bila dah berdua je yang tinggal di rumah, tau je lah, makan apa yang ada je. 
Takda beria-ria pun nak masak.
Mujur encik suami bukan seorang yang cerewet. 
Lega banyak dah tu.
Ada satu hari tu, makan berlaukkan telur goreng je.. nangis ni kalau bonda ku tau 😅.
Boleh terbit pertanyaan dalam dirinya, kenapa derita sangat anak aku ni, padahal kedua-duanya bukan tak kerja. 😁
Semua gara-gara nak habiskan stok telur.
Apapun, alhamdulillah atas rezeki yang diberikan.

Sesekali kita berjalan ke food court atau gerai jualan makanan, cari juadah berbuka.
Bila lapang, kita mainlah masak-masak pulak.
Masak simple-simple je.. alah, kalau bukan bulan puasa pun, memang masak simple je..heheheh.
Kali ni mood masak sepanjang Ramadan,  tak macam tahun sebelum.
Dulu rajin sungguh aihhh. 
Boleh dibilang dengan jari berapa kali tapau makanan kat luar.
Tahun ni ada sedikit "rajin"...heheheh.


 

Monday, 21 February 2022

5 tahun di sini

Februari 2022.
Alhamdulillah, genap 5 tahun sudah di sini.
Siapa sangka, siapa menduga, boleh sampai sejauh dan selama ini 😅.

Sesukar manapun, sepayah manapun, semua kita redah je, dengan nawaitu kita buat yang terbaik apa-apa yang dipertanggungjawabkan. Selebihnya, kita berserah sahaja.
Every storm in your life is followed by a rainbow.
Without colors, life would be so boring, it adds beauty to life. 

Dalam kehidupan, dah tentu bukan sentiasa lurus je jalannya.
Kadang-kadang ada bengkang bengkoknya, malah selalu kita kena tempuh jalan macam ni. 
Ada simpang kanan dan kirinya.
Ada bukit, gunung-ganang, semak samun yang kena tempuhi sebelum sampai destinasi dituju.

Kita la yang tentukan mana satu pilihan yang kita nak ambil.
Nak ambil simpang itu atau ini.
Semua pilihan ada risikonya sendiri, tak boleh lari.

Apapun, semuanya adalah pengalaman, mengajar kita menjadi lebih kuat daripada semalam.

Masih segar di ingatan, jejak kaki ke sini dengan berbekalkan seribu satu cerita menyeramkan, kalau boleh kita rumuskan begitu.
Ini bukan khabar angin, tapi berdasarkan pengalaman sebenar pencerita.
Orang kata, telinga ni dengar cerita yang tak best belaka, tiada yang best melainkan tak best semua 😌. Masa ni rasa ramainya yang ambil berat pasal kita.
Bohonglah kalau kata langsung tak terkesan.
Orang gila je kot takda rasa apa-apa.
Gigil jugaklah kaki. 
Berperang dengan perasaan sendiri.
Sampai tahap dah terfikir, adakah patut kita tolak tawaran masa tu.
Paling-paling pun, kena blacklist setahun dua, mungkin.
Masa tu terfikir juga, kenapalah dalam banyak-banyak orang, insan terpilih itu adalah aku.
Apapun, sesungguhnya Dia Maha Mengetahui segalanya . Dia tahu apa yang terbaik untuk kita semua. 

Berbekalkan doa penguat semangat, pergi lapor diri.
Dan kini, 5 tahun lepas tu... ehhh, masih "bernyawa" la...hahahhah.
Tips nya senang je, layankan je la mana yang kita terdaya. 
Kita positifkan je la diri. Kita cari/cipta la bahagia dan keseronokan tu sendiri. 
Pekakkan telinga, sesekali (ke banyak kali...hahahah) bisukan mulut kalau rasa tiada keperluan nak membantah masa tu. Kita iya kan je semuanya dulu. 
Lepas tu kita cari la jalan macamana nak selesaikan...hahahha.
Kita kawtim la semula dengan justifikasi sekuat mungkin. In sha Allah ok. 

Rupa-rupanya, pada masa tu, orang tu tak la susah sangat nak diuruskan.
Kalau kena gayanya, ok je. 
Jangan buat apa yang tidak disukainya.
Semua mesti datang dengan good justification
Tapi biasalah, sebelum sampai ke tahap tu, bernanah jugalah telinga kan kena bebel..hahahha.  
Kesabaran perlu tebal. Hati kena kental.
Paling penting, jangan lupa doa banyak-banyak moga dipermudahkan segala urusan kita. Belajar la doa sikit, boleh buat hembus-hembus.. hahahhaha.
Apa orang kata, alah biasa tegal biasa. Hah..camtu la. 
And the best thing is, my team is really great. 
Susah senang harung bersama. Saling support each other. 

"Experience is the teacher of all things".

Happy 5th Anniversary 😊...
And many more years to come? Errrr.. harapnya di tempat lain pulak la ye lepas ni... 


Wednesday, 3 February 2021

Dulu-Dulu - mengaji

Dulu-dulu kebiasaannya, rumah tok imam, ustaz, ustazah jadi tumpuan kanak-kanak belajar mengaji.
Sesi mengaji akan dibuat di rumah je dan biasanya selepas Maghrib.

Kumpulan mengaji ni ramai, daripada pelbagai peringkat umur. 
Kanak-kanak hingga ke pra-remaja.
Macam di kawasan rumah dulu, boleh dikatakan selorong tu semua mengaji rumah yang sama. 
Jadinya, kami akan pergi secara berjemaah la.
Malam kan, jadi abang-abang yang pra-remaja tu akan jaga adik-adik yang masih sekolah rendah ni.
Jauh jugak nak berjalan ke rumah mengaji tu.

Sesungguhnya, bukanlah senang nak menuntut ilmu ni, kata orang. 
Ada pelbagai cabaran...hahahaha.
Antara cabaran yang kumpulan kami perlu tempuhi sebelum berjaya sampai ke rumah mengaji adalah anjing.
Ye, kawasan kejiranan turut diduduki oleh non-muslim. 

Entah kenapa, anjing tu memang sangat garang.
Macam anti sangat dengan kumpulan kami.
Pantang melintas depan rumah, mesti kena salak kuat.
Paling menakutkan, dia akan mengejar kami walaupun hanya berlari di sebelah pagar.
Salakan dan kejaran hanya berhenti apabila bayang kami hilang...hahahha.. 
Mujur ada pagar rumah. 
Boleh bayangkanlah kalau dia terlepas dari pagar atau melompat keluar dari pagar.
Mujur itu tak pernah berlaku.  
Ada sekali, sampai tercicir selipar dek lari ketakutan tu.
Satu hal pulak, nak patah balik ambil selipar.

Bila sampai rumah mengaji, semput dah semua..hahahah...
Kepenatan berlari. 
Baru lepas exercise semua.

Dan, sesi berlari ni akan berulang semula bila balik dari mengaji.
Katalah mengaji lima hari seminggu, lima hari tu la kejadian "menakutkan" ini  berlaku.
Anjing tu hanya senyap bila tuan rumah ada di rumah.
Kalau tak, sesi berlari akan berterusan sama ada pergi dan balik mengaji.