Showing posts with label celoteh. Show all posts
Showing posts with label celoteh. Show all posts

Thursday, 3 May 2012

Orang minyak separa jadian...

Semenjak aku berkasih sayang dengan kereta ni, banyak kali jugaklah aku pegi tuang minyak sendiri (selebihnya, mintak tolong suami tersayang la tuangkan...heh..heh...).

Mula-mula dulu tu, ngaku memang cuak la jugak, al-maklumlah...tak biasakan....
Siap mintak tolong mamat bangla kat petronas tu. Kayuh pelan-pelan, belajar la tuang sendiri. Kiranya tak pernah la jadi sebarang kes masa sesi tuang menuang tu...semuanya berlangsung dengan jaya. Markah penuh di situ...So, dah tak heran la dengan mamat bangla tu, boleh eksen lagi.....^___^ poyo tak hengatttt....

Tapi, nak dijadikan cerita, telah terjadi satu insiden di satu hari pagi yang nyaman di satu ketika di sebuah stesen minyak biru di lokasi pinggir bandar yang dipenuhi kepelbagaian bangsa termasuk indon, bagla hatta mat black. Internasional gituuuuuuu........... 

Alkisahnya gini, arjuna singgah stesen minyak, lepas cucuh fuel pump nozzle kat tangki minyak kereta, bergegas dia masuk ke kedai menshopping, bagai tiada masa lain lagi. Dan aku disuruh tarik nozzle bila tangki minyak kereta dah penuh. Tengah syok-syok duduk dalam kereta teman Nurin  hana main games, tetiba dengar bunyi kat tangki kereta "oii..oiii....tarik la oiii...dah penuh ni...". So, aku pun keluar kereta, dan terus tarik pump nozzle  tu. Dan apa jadi lepas tu...?????

;
;
;
;
;
;
;
;
;
;


Bagaikan ada kuasa magik...........minyak melimpah ruah...........terpancut sana sini dari  pump nozzle. Cuba korang bayangkan macam air laju yang keluar dari getah paip petang-petang yang korang buat basuh kereta, main simbah-simbah tu. Hah.....macam tu la rupa keadaannya masa tu. Kalau ada orang kat belakang kereta  masa tu, sahih lagi pasti tanpa mampu dipertikaikan lagi, bermandi minyak le orang tu jawabnya..... T___T

Dan secara automatiknya, sebab tangan mulus aku yang tengah pegang pump nozzle  tu, tak sempatlah aku menepis tempias percikan hujan minyak tu yang secara mesranya jugak memercik manja baju aku, tudung aku... Bagai terpaku sebentar........
Arghhh...kenapalah ada orang yang begitu kejam sekali.......... T____T
Chisssss.....ni mesti kes budak pump attendant kat dalam kedai tu jeles tengok aku pakai baju cantik pagi-pagi ni, dia pakat lepaskan lagi minyak tu walaupun dah penuh..... (statement cubaan menegakkan benang yang basah kena minyak....).
Nyampah tau....abis baju aku bau minyak. Dengan tudung sekali bau. Sipi2 nak jadi orang minyak hari tu... Dah la aku nak pergi ikut rombongan cik kiah menghantar orang bertunang.....

Setelah bertekak berdiskusi panjang lebar dengan arjuna......demi sebuah penjelasan konkrit.....kitorang berjaya menyimpulkannya, bahawasanya......
Mungkin masa aku tarik pump nozzle  tu, aku tertekan. Tu pasal minyak terpancut.
Aku biasanya tuang minyak dengan memegang  pump nozzle, tak macam kebanyakan orang selalu sangkut je kat kereta, macam yang arjunaku selalu buat. Free hand gituuu... So, ai tak biasalah nak tarik  pump nozzle  yang tersangkut kat kereta tu...tu pasal tertekan tu.....^___^

So, rombongan cik kiah hari tu turut disertai oleh orang minyak separa jadian..... ^____^. Dalam hati takut jugak, kang rentung pulak aku kena sambar api..... ^____^

Pengajarannya, “Yang, next time isi minyak, tolong tarik sendiri  pump nozzle  tu ye......"

Thursday, 19 January 2012

Kita yang kian berubah...

Handphone, tab, dan segala aneka gajet peralatan IT memang bagus. Sebab memudahkan, menyenangkan kita untuk bersembang dengan orang lain, tengok internet, main angry bird, layan facebook, dan macam-macam lagik la.... Pendekata, semua urusan di hujung jari gitu....

Tapi, sama ada kita sedar atau tak, atau buat-buat tak sedar, semua gajet tu menyebabkan komunikasi dua hala dengan orang sebelah atau terdekat dengan kita dah jadi kurang atau hampir pupus...

Kita biasa tak nampak, pasangan/famili yang duduk semeja tapi buat hal masing-masing. Sorang sibuk main games kat hp, sorang lagik pulak sibuk mengulit tab. So, kat mana komunikasi tu? Kalau dulu-dulu tu, meriah meja tu dengan pot pet pot pet... Kiranya dunia ni kami yang punya la... Sembang nak rak tak hirau kat orang keliling dah.

Sekarang ni, sesekali ko tengok aku, aku tengok ko, pastu tangan duk mengulit. membelek gajet masing-masing tak abis-abis. Ohh..sungguh senyap sekali... Bagai berada dalam dunia berbeza...

Kalau kat rumah pulak, takda dah istilah layan tv sesama. Masing-masing macam duduk dalam dunia sendiri. Terasing. Yang apak nya duduk kat meja makan duk ralit main games kat hp. Mak nya pulak sibuk shopping online kat pc, takpun layan games jugak. Anak? Layan tv sensorang la... Dah la sehari suntuk duduk kat sekolah/tadika/nurseri, balik rumah ingat nak berkasih sayang dengan apak dengan mak, huh...hampehhh... Apak dengan mak sibuk benda lain.

Teknologi ni memang bagus. Tapi, kalau kita terlalu taksub dan lupa benda penting lain yang ada kat keliling kita, memang bawak padah la jawabnya.... Sapa tau, mungkin lepas ni takda dah nak cakap-cakap sesama kita. Nak cakap apa, minta apa, pakai sms atau message kat fb, tweet atau emel je.. Semua dah jadi bisu disebabkan gajet...

Zaman memang akan sentiasa berubah. Kita juga kena berubah tapi berubah tanpa mengenepikan nilai2 kehidupan dan kekeluargaan yang ada...

ini jugak peringatan untuk diri sendiri...

Tuesday, 1 November 2011

Tamat Sudah Riwayatnya.....Bus Stand Klang

Salah satu nadi kl, bus stand klang telah pun ditutup dengan operasi terakhir malam tadi. Stesen bas yang sentiasa penuh dengan asap bas tapi masih okay lagi jika nak dibandingkan dengan puduraya yang dulu-dulu...

Opss..bus stand klang ni kat kl ye..bukannya kat klang sana... Rupa-rupanya bus stand klang ni ada nama satu lagi, Pasarama Kota.... Baru ku tau...tu pun sebab tertulis dalam surat khabar... Penutupan ni bagi memberi laluan kerja pembinaan projek My Rapid Transit (MRT).

Masa aku belajar kat shah alam dulu, kat sinilah aku bertunggu tangga nak balik kolej semula lepas cuti. Turun bas kat jalan silang, heret beg balik kampung lalu tepi central market (CM, lamanya aku tak jejak kaki kat situ....rindunyaaaa.....), control cun sambil perasan di usha oleh para jejaka yang bersidai kat tembok luar CM tu, terus je ke bus stand klang tu. Melangut kat situ tunggu bas. Kalau bernasib baik, bas dah stand by kat situ. Kalau tak, melangutlah ko kat situ sampai bas datang.

Kelazimannya, sangat jaranglah aku dapat duduk. Biasanya jadi tiang sepanjang perjalanan tu. Beg kena kepit wooo...kang kena copet. Rebut-rebut naik bas tu biasa. Bukan tak nak beratur, tapi apa ke halnya kalau aku sorang je beria beratur, orang lain berasak-asak kat depan tu. Aku makan asap bas je la lepas tu nampaknya. Kalau naik bas selain peak hour, best sikit, tak ramai orang dan kebarangkalian nak dapat duduk tu besar la...

Kat bus stand klang jugak, korang boleh jumpa macam-macam jenis orang, pelbagai kaler kulit, bahasa. Sesekali rasa internasional pun ada sebab mat indon ada, mat black ada. Masa tu mat bangla tak begitu ketara sangat. Ada sekali dulu tu, ada sorang mat black ni duduk sebelah aku. Bukan main lah peramahnya dia, pot pet pot pet. Aku duk risau dia nak mandrem aku. Kan banyak kes macam tu. Nak-nak bila dah sampai ke topik pasal gelang tangan emas yang aku pakai. Woii...ni sudah lebey... Kang tak fasal-fasal aku turun bas, gelang aku takda dah. Aku tipu mamat tu, bagitau yang aku dah kahwin. Ni nak gi jumpa husband aku la ni.. terus dia senyap. Dan aku lega ya amat bila aku selamat turun dari bas dengan gelang masih kat tangan dan aku masih normal cam biasa.... ngeri wehh kalau duk ingat balik...

Kalau boring tunggu bas tak datang-datang lagik, boleh jalan-jalan kat CM, cuci-cuci mata kat situ. Takpun, boleh jalan kaki ke uda ocean, shopping complex sebelah tu. Tarikannya adalah food courtnya yang ada jual kue teow paling best sekali. Memang sedap dengan kuantiti yang banyak. Tapi tu dolu-dolu la...

Nak jauh sikit, bagi exercise peluh banyak, boleh jalan kaki ke kotaraya dan kompleks s&m. Tapi standard student, setakat cuci mata je la. Duit mana ada nak shopping bagai. Setakat makan tu lepas la.

Okay, ni jadual penempatan semula perkhidmatan bas yang ada kat bus stand klang sebelum ni:

Thursday, 30 December 2010

Bravo Malaysia!

Bravo...bravo..bravo...Malaysia menang Piala  Suzuki AFF.

Tahniah kepada semua pemain. Ternyata anda semua hebat. terus kekalkan kecemerlangan. Jangan pula hari ni hebat, esok ‘hancuss’.

Dan habuannya, kita semua cuti esok......!!!!! Part tu yang aku paling suka...heh..heh...

Yeay..yeay.....TQ to our PM.

Memang mengidam nak ambil cuti tapi memandangkan masa dah suntuk, system dan tutup. Sekali, dapat cuti free pulak...alhamdulillah.

p/s: malam tadi ada siap ada acara selingan, cik puan kecik dalam rumah ni melalak menangis, terperanjat  papa dia menjerit sakan....kuss....semangat...

Friday, 22 October 2010

Graduan dakwa ditipu syarikat pelaburan

Ini salah satu kes yang dilaporkan dalam suratkhabar.Kes ni bukan yang pertama. Sebelum ni pun banyak kes sama yang dilaporkan.

Bila baca berita tu, teringat dulu-dulu aku pun nyaris-nyaris tak terlibat dalam ‘bisnes pelaburan’ tu jugak.

Masa tu baru lepas grad diploma, sementara waktu senggang tunggu offer degree, aku intai lah mana-mana kerja yang ada. Hari-hari aku kelebek suratkhabar. Siap beli Star lagi, sebab dalam tu banyak iklan kerja kan.

Dalam banyak-banyak tu, tertarik dengan satu iklan yang menawarkan jawatan eksekutif pentadbiran. Huiii...canggih bunyi jawatan tu kan. Syarat pun minimum je, bolehlah cuba ni.

Ada open interview, kat company nya di yow chuan plaza. 

Aku pun nak cubalah nasib. Melilau jugak cari company tu, tak jumpa. Plaza tu kan banyak kedai. Dah puas pusing baru jumpa.

Interviewnya simple je. Terus dapat lagi. Besoknya boleh mula keje.....heh..heh...masa tu rasa bangga jugak...yeah..yeah..aku dapat keje....eksekutif pentadbiran lagi...hahhh..hhahhh...hahah...

Tapi, lepas tu bila dengar penerangan tentang skop kerja, hmmm...kena fikir panjang kalau nak menceburkan diri dalam bidang pekerjaan tu.

Gaji rm500 je sebulan. Apa kes ni, ada diploma gaji bagi banyak tu..macam eksen la sikit..haahh..hahh...

Tapi ada komisen, yang akan top up gaji tu jadi tinggi. Kerjanya, kena cari orang untuk buat pelaburan.

Alamak!!!! Kena buat sales ke? Sangatlah aku tak minat...tapi aku tak bagitau masa tu yang aku tak minat.

Habis interview, masa merayau-rayau, jumpa dengan beberapa ‘pekerja’ company tu. Kitorang pun sembang-sembanglah lebih kurang. Diorang tengah cari customer la tu...Bunyinya memang payah jugak keje tu...

Balik rumah, bila bagitau ayahanda, terus dapat bangkangan seratus peratus. Dengar je lah bebelannya....terkulat-kulat aku di situ...

Sebagai anak yang takut patuh, aku ikut je lah. Lagipun, hati aku tak sepenuhnya nak ambik kerja tu. Gaji ciput sangat Tak minat la, bukan line aku pun...

Nasib baik aku dengar cakap ayahanda aku. Kalau tak, mau jadi macam kes graduan tertipu tu...kesian depa kan...

Mungkin ada company yang betul-betul buat bisnes pelaburan yang sah. Cuma kita kena check betul-betul la supaya tak datang masalah di kemudian hari...

Saturday, 17 July 2010

BANCI 2010

Dengan bangganya nak bagitau, saya dah dibanci....!!!! BANCI ye, bukan BENCI...
Hari pertama banci bermula, 6hb. Masa tu saya baru sampai rumah. Sebelum masuk parking, dah nampak seorang gadis muda dengan beg tersandang di bahu tengah berjalan kat depan rumah jiran sebelah. Sekilas mata saya mengerling, alamak..ada orang jual barang la....sat gi mesti singgah rumah saya ni..malasnya nak layan...Betul tekaan saya, sedang elok saya parking dan nak keluarkan beg dari dalam kereta, adik comel tu pun sampai depan rumah. Dia bagi salam dan bertanya sama ada saya free tak skarang? Saya tanyalah, kenapa (sebelum tu dah jawab salamnya ye....). Suaranya lembut dan sangat polite (sesuai jadi pembanci...mudah convince orang..). Bila dia bagitau je nak buat bancian, okay je...So, dia pun keluarkan dokumen banci tu dan mula bertanya beberapa soalan, antaranya bilangan pengnhuni rumah, pekerjaan, etc. Senang je, dia tanya, kita jawab, dia tick/tulis kat kertas tu.
Saya perhatikan, sangat gigih pembanci tu berjalan dari satu rumah ke rumah, untuk buat bancian. Bagi salam. Saya sempat sembang dengan dia masa banci tu, menurutnya dia datang dah pagi tadi kawasan sini, tapi takda orang. Heh..heh..memanglah dik oii...kat sini tak payah lah datang pagi, sebab hampir 99.9% tuan rumah suami isteri bekerja. Yang tinggal rumah kosong @ maid. Tu yang dia datang semula petang. Ha..time ni bagus, orang dah balik keje.
Lepas dia selesai banci dan sembang lebih kurang, adik pembanci tu bergerak ke rumah lain. Say sempat pesan padanya, selain bagi salam, kena ketuk pintu rumah yang dikunjungi (kalau pintu tutup la....Kalau pintu dah ternganga, buat apa pulak nak ketuk..), sebab kadang-kadang orang kat dalam tak dengar suara salam tu. Nak-nak, suara orang yang bagi salam tu lemak merdu bagai orang berbisik...
Sebenarnya, bagi saya mencabar kerja pembanci ni. Bukan senang nak minta orang bagi kerjasama. Silap-silap dilayan macam salesman pulak. Padahal, orang tu tengah buat bancian negara. Tu belum kes dikejar anjing ke, macam yang saya baca dalam newspaper hari tu.
Kadang-kadang, dah jumpa tuan rumah, tapi, tuan rumah suruh datang besok pulak. Bagilah kerjasama anda. Bancian tu bukannya ambil masa lama pun. Pembanci tu tanya, kita jawab, bukan kita nak kena tulis pun.


Saya suka jugak kaedah yang diamalkan oleh Stats sekarang, bancian secara online dan tinggalkan dokumen bancian di rumah yang tiada penghuni ketika kehadiran pembanci dan akan dikutip keesokan harinya. Maknanya, semua orang takda alasan tak boleh nak banci sebab pelbagai kaedah dah disediakan. Tepuk dada tanya selera, mana kaedah yang disukai. Saya suka secara temu duga berdepan. Dia tanya, saya jawab. Boleh beramah mesra lagi..ahakss... Lagipun, senang, tak payah nak tulis-tulis..heh..heh...
Walau macam mana sibuk sekali pun, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk dibanci bagi memudahkan perancangan masa depan negara, jadi berikanlah kerjasama sewajarnya


Sedikit Info: Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010
Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia merupakan satu pembancian semua tempat kediaman dan penduduk di seluruh negara. Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 adalah banci kelima yang akan dijalankan sejak tertubuhnya Malaysia pada tahun 1963. Banci dijalankan mengikut peruntukan yang terkandung dalam Akta Banci 1960 (Disemak 1969). Akta Banci mewajibkan orang awam menjawab semua soalan banci dan akta ini menjamin bahawa maklumat individu adalah sulit dan tidak akan dihebahkan. Data yang dikumpul semasa Banci Penduduk dan Perumahan 2010 akan membekalkan satu set maklumat berstatistik yang komprehensif mengenai arah aliran dan corak ciri-ciri isi rumah dan penduduk. Data dan penemuan penting mengenai stok perumahan, jenis dan corak pemilikan juga diperoleh. Maklumat ini dapat membantu dalam perancangan, penggubalan dan pelaksanaan polisi oleh Kerajaan dan digunakan oleh para penyelidik dan individu lain.



Tempoh pembancian akan mengambil masa selama dua bulan iaitu bermula dari 6 Julai hingga 22 Ogos 2010.

Tuesday, 13 July 2010

GORES DAN MENANG

Pagi ni sempat hadir seminar kepenggunaan kat sini. Salah satu topik yang dibincangkan adalah mengenai gores dan menang. So, teringin nak kongsi pengalaman dengan kawan-kawan tentang ni. Rasanya ramai yang familiar tentang ni..kan...

Beberapa tahun lepas, masa tu kami baru je pindah masuk rumah yang diduduki sekarang ni. Masa tu bulan puasa. Kalau tak silap, sehari dua lagi dah nak raya. Kiranya tengah berkemas sebelum nak balik kampung la...Masa tu kawasan tu memang dah sunyi, majoriti orang dah balik kampung. Macam kami ni, tak rushing sangat sebab kampung alahai sepelaung je....heh..heh...

Masa tengah sibuk-sibuk tu, tetiba ada sorang amoi ni muncul depan pintu, katanya nak buat survey sikit. Kitorang pun bagi chance la kat dia. Pot pet pot pet dia, tanya tu tanya ni, then tetiba dia offer kami untuk gores salah satu kad yang dibawanya. Malas nak layan sebenarnya, tapi layan je la. Katanya, hadiah best-best dalam kad tu, antaranya kereta perdana. Katanya, tak kena bayar apa-apa pun. Dengan rela tak rela, kami pun pilih satu kad dan gores. Bila dia nampak gambar di sebalik goresan tu, gembira sakan dia, excited giless...Macam dia pulak yang gores. Padahal, tuan rumah yang ‘konon-kononnya menang” tu tak apa-apa, dia pulak yang over. Tapi, memang kelakar bila ingat balik kondisi amoi tu masa tu. Terlompat-lompat depan pintu rumah kami. Ishh..ishh...teruk betul...

Tau apa yang kami “menang”? “Hadiah utama” tu..... Tu fasal la amoi tu melompat macam nak rak..al maklum la..bakal dapat satu “mangsa” kan..Tanpa dia tahu, spesies apa tuan rumah yang dia jumpa petang tu..heh..heh...

Beria-ia la dia yakinkan kami tentang hadiah tu. Siap tunjuk keratan akhbar tentang berita orang-orang yang pernah menang gores ni. Kami pun tak perasan berita tu. Sebab kad tu tertulis hadiah utama, so melayakkan kami untuk gores kad untuk hadiah utama pulak. Hadiah utama, macam kereta, penapis air, etc. Tapi, kena bayar sejumlah wang sebelum boleh gores kad hadiah utama tu. Aikk..tadi kata tak payah bayar apa-apa...Dia kata, at least hadiah gores yang boleh kita dapat, penapis air. Hekk elehh...penapis air buat apa...

Agaknya sebab “pujuk rayu” tak bisa mencairkan hati tuan rumah, siap panggil supervisor dia datang rumah kami. Kononnya nak buktikan yang semua tu adalah benar belaka, tiada yang tak benar, melainkan benar belaka...Siap minta kami pergi company dia lagi, untuk uruskan fasal hadiah tu...Kami minta alamatnya. Diam-diam saya telefon company tapi tak berangkat. Lama jugak la diorang berusaha memujuk kami. Pujuk rayu macam-macam. Siap boleh bagi advice lagi, takda cash takpa, boleh bayar pakai kad atm @ kredit card....Terdesak sungguh diorang ni. Paling best, dia cuba ayat kami, “Raya ni boleh bergaya dengan kereta baru, perdana...”. Huii..bunyi macam best betulkan...Boleh cair la dengarnya.
 
Tapi, seperti yang saya sebutkan kat atas tadi, diorang tak tau spesies tuan rumah ni dalam hal-hal macam ni. Hati batu, keras, terutama en hubby. Pujuklah macam mana pun, tak jalan punya..Cubalah fikir, takkan lah senang-senang orang nak bagi kita hadiah kereta, dengan hanya main gores-gores je. Nak kata masuk peraduan, bukan! Finally, diorang pergi dengan penuh putus asa...(mesti punya...muka kelat je..) tapi sempat lagi tanya “adakah kami tak menyesal tolak tawaran berharga tu...?”....sempat lagi tu....

Hati-hatilah kalau didatangi orang macam ni. Diorang memang pandai bercakap dan memujuk sampaikan tanpa kita sedari, kita mungkin akan terjerat...

Saturday, 10 July 2010

Salah Guna Pinjaman Pendidikan

(image: google)
Sekarang ni musim pendaftaran pelajar-pelajar baru di IPT. Macam-macam ragam kita boleh tengok. Yang pastinya, wajah kegembiraan ibu bapa/keluarga yang turut sama menghantar anak-anaknya masa pendaftaran tu. Huii..siapa tak bangga, anak dapat belajar kat IPT,kan. So, adik-adik semua, belajarlah rajin-rajin. Peluang dah diberi, gunakanlah sebaik mungkin. Hadiahkanlah kejayaan pada ibu bapa/keluarga yang telah bersusah payah selama ini, juga pada diri sendiri. Selamat menikmati saat-saat bergelar mahasiswa/siswi. Kehidupan di IPT pasti akan menjadi antara kenangan terindah untuk dikenang nanti......

Sebenarnya, entri saya tentang pinjaman pendidikan. Saya percaya ramai adik-adik yang sedang belajar di IPT mendapat pinjaman, kan! Dalam Berita Harian (Varsiti) ada menyentuh tentang “Salah Guna Pinjaman”.
Sedikit sedutan: “segelintir pelajar IPT yang menerima pinjaman pendidikan, antaranya daripada PTPTN dikatakan membazir bantuan kewangan itu dengan membeli pakaian berjenama, telefon bimbit, berpeleseran dan melabur dalam skim cepat kaya sebaik pinjaman dikeluarkan awal semester pengajian”. (TQ Varsiti, BH).

Heh..heh..al-maklumlah, tiba-tiba dapat duit banyakkan, so cepatlah gelap matanya. Bila check akaun, alamak...duit dah masuklah. Apa nak beli ye...??? Macam-macam dah terbayang kat kepala. Tapi, sampai tengah semester, duit pinjaman dah habis. Jangankan nak guna untuk tujuan belajar, nak makan pun kena ikat perut. Paling murah, makan maggi hari ni, esok, lusa dan seterusnya sampailah dapat duit pinjaman untuk semester akan datang. Masa ikat perut tu, rasa menyesal dan janji pada diri sendiri, lepas ni akan jimat cermat. Tapi, bila dapat duit pinjaman lagi, terus lupa janji-janji yang dibuat pada diri sendiri tu.

Masa zaman saya belajar dulu, biasa kita dengar siswa/siswi makan maggi. sebab duit pinjaman dah habis atau lambat dapat. Setiap kali semester baru dibuka, rata-rata pelajar kena ikat perut dulu (ni kes duit semester lepas dah licin), tunggu duit masuk. Bila dah masuk..yehhh...pakcik/makcik kayo....heh..heh... Saya dulu dapat pinjaman, tapi memang still kena jimat cermat, takut duit tak cukup untuk cover satu semester. Kena pandai-pandai bajet. Yelah, untuk belanja harian lagi, makan, buku, fotostat, etc. Nasib baik saya bukan kaki shopping, kalau tak haru....

Kesimpulannya, dapat duit banyak memang best, tapi ingatlah hari-hari depan yang masih memerlukan duit. Janganlah susahkan ibu bapa/keluarga semata-mata sebab keborosan sendiri. Sendiri mahu ingatlah....

Friday, 9 July 2010

BURGER GERGASI

"Burger gergasi punca banyak kes rahang cedera
TAIPEI: Doktor gigi di Taiwan menggesa rangkaian makanan segera mengurangkan saiz burger dalam menu mereka berikutan semakin banyak kes kecederaan rahang dilaporkan.
Pesakit mengalami masalah rahang atau kesukaran membuka mulut selepas memakan burger gergasi, lapor China Post yang memetik profesor Hsu Ming-lung dari Sekolah Pergigian di Universiti Kebangsaan Yang-Ming. Masalah bertambah apabila penggemar makanan segera memakan burger melebihi lapan sentimeter tinggi, kata Hsu. AFP.” (sumber: Berita Harian).

Huiii..besar mana burger gergasi tu ye sampai boleh mencederakan rahang....8cm tinggi. Mak aiii tingginya...Macamana nak makan tu...Tu kalau ditekan-tekan pun, masih tetap tinggi lagi.

Saya kalau makan burger jenis agak besar sikit dari biasa macam double bigmac atau burger king, saya akan tekan-tekan bagi penyek dulu, selaras dengan keluasan ngangaan mulut. Al-maklumlah, mulut cute kan..heh..heh...(naik lift tekan butang sendiri...heh...heh...). Tak pun susah sangat, bahagikanlah kepada 2 bahagian. Atau beberapa bahagian lebih kecil. Kan senang nak makan.

Tapi, tak taulah saya kalau ada etika memakan burger, memang kena makan sebijik bulat macam tu...heh..heh...Kalau orang perempuan makan nganga mulut besar-besar macam tu, ishh..buruk benar rupanya..hah..hah....Silap haribulan, nganga terus tak boleh tutup dah..hah..hah...Tu baru haru...
camni kot saiz burger gergasi.....(image: google)

Saturday, 3 July 2010

POKOK BETIK DI DEPAN RUMAH

Ni adalah pokok betik yang ditanam oleh Papa Nurin Hana aka En Hubby. En Hubby beli anak pokok kat Pasar Tani Putrajaya aka Pasar Malam. Alhamdulillah, nampaknya membesar dengan baik. Apa taknya, selalu diberi 'makan'. Tak lupa jugak, diberi 'minum'. Nurin Hana kalau menyiram pokok betik ni, sampai jadi kolam keliling pokok tu. Penuh dengan air. Tapi, memang boleh diharaplah untuk siram pokok....pandai anak Ibu..
Hmm..bila la dapat merasa buahnya ni......
Jangan pulak jadi macam pokok mangga belakang rumah, dekat 4 tahun dah tanam dari anak benih, sampai la ni, takda hasil pun. Tinggi bukan main, dengan daun yang lebat. Kan bagus kalau buah yang lebat. Mangga harum manis tu..sedap...Tapi, rasa-rasanya, sampai sudah tak merasa la buah mangga tu. Takda ciri-ciri langsung nak berbuah...
Tapi, nampaknya tak lama lagi kalau ada rezeki, dapatlah kitorang makan betik ni...nampak tak dalam gambar tu, dah mula berbuah...bestnya...

Thursday, 13 May 2010

KERETA KENA LANGGAR

Assalamualaikum.
Pagi ni sampai awal ke office, so sempatlah nak 'jalan-jalan' di alam maya. Sekarang ni dah bawak kereta so walaupun masuk jam 8 pagi tapi, seawal pukul 7 dah keluar. Padahal rumah 'sedepa' je dari office. Keluar awal nak elakkan jalan sesak kat Parcel E sana, lagi satu masa tu parking lot belum penuh so senang la nak masuk parking. Al-maklumlah, saya ni bukannya pandai benar bab-bab parking ni..heh..heh...Lot parking yang diperuntukkan duduk kat tengah-tengah, diapit kereta kiri kanan, kalau datang lambat nanti owner parking kiri kanan tu dah sampai, masaklah saya nak masuk parking tu. So, biarlah datang awal, boleh relaks-relaks dulu dalam office..tak gitu....
On the way tadi, ternampak satu kemalangan kecil. Sebelah je. Masa tunggu kat traffic light, kereta vios kat depan tu apa kenanya kejap-kejap mengundur....sampaikan kereta hitam kat belakangnya siap dah hon, pastu undur sikit ke belakang. Tapi apa jadi? Kereta vios tu tetap mengundur jugak, apalagi...hentamlah bumper depan kereta hitam tu. Berbunyilah juga. Saya intai-intai kat cermin, nampak cam vios tu ok je bumper belakangnya, kereta hitam tu tak ketahuan pulak nasibnya. Maybe tak teruk sangat kot. Apalah pakcik vios ni, macamana la boleh mengundur pula ni. Bila lampu hijau, both kereta jalan terus je. Takda sesi bincang-bincang pun. Tak taulah kot kat depan-depan sikit depa pakat bincang....Kat situ main road, bukan boleh berhenti suka-suka. Mahu mengamuk orang nak pergi office nanti.....
Terkejutlah jugak tengok scene tu. Orang lain punya mistake, kita pula kena kan!!! Kena lebih hati-hati lepas ni...... 

Wednesday, 5 May 2010

Wanita cantik bawa penyakit????

Assalamualaikum.
Hari ni dalam satu artikel di Harian Metro menyentuh tentang 'Wanita Cantik Bawa Penyakit'. Ni artikelnya:
Menemui wanita cantik adalah tidak baik untuk kesihatan anda. Menurut kajian saintis Universiti Valencia, dengan hanya lima minit bersama dengan seorang wanita jelita boleh meningkatkan paras kortisol, hormon stres tubuh. Kesan itu meningkat di kalangan lelaki yang percaya wanita berkenaan bukan setaraf mereka. Kortisol dihasilkan oleh tubuh di bawah tekanan fizikal dan psikologi dan dikaitkan dengan penyakit jantung.
Penyelidik menguji 84 pelajar lelaki dengan meminta setiap seorang daripada mereka duduk dalam bilik dan menyelesaikan teka-teki Sudoku. Dua orang asing, seorang lelaki dan seorang wanita juga berada di bilik yang sama. Apabila wanita berkenaan meninggalkan bilik dan responden hanya tinggal bersama lelaki asing itu, tahap tekanannya tidak meningkat. Bagaimanapun, apabila responden hanya berdua dengan wanita asing itu, tahap kortisol mereka meningkat.
Penyelidik merumuskan: “Dalam kajian ini, kami menganggap, bagi kebanyakan lelaki, kehadiran wanita jelita mungkin mencetuskan persepsi bahawa terdapat peluang untuk berkenalan.
Walaupun sebahagian lelaki mungkin mengelak menemui wanita jelita kerana beranggapan mereka tidak setaraf, majoriti akan berasa bimbang serentak dengan tindak balas hormon.
Kajian ini menunjukkan paras kortisol lelaki meningkat selepas pendedahan sosial lima minit dengan wanita muda dan jelita. Kortisol boleh memberi kesan positif jika dosnya kecil. Tetapi jika parasnya meningkat begitu tinggi, ia boleh memburukkan kesihatan seperti menyebabkan sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan mati pucuk. - Agensi

Hmm...kalau ikutkan kajian tu, maknanya kaum lelaki tak bolehlah jumpa wanita-wanita cantik ni...nanti jatuh sakit...hah..hah....
Bukankah semua orang dilahirkan cantik? Yang membezakan hanya pandangan mata seseorang tu....:)

Sunday, 25 April 2010

NYARIS TERTELAN DAWAI KOKOT


Assalamualaikum.
Korang tau tak dawai kokot? Ala...ubat stapler tu...besi yang kita letak dalam stapler sebelum boleh digunakan. Hari tu nyaris tak tertelan dawai kokot tu. Sedang enak mengunyah sotong bakar tetiba terasa ada benda tajam mencucuk di daging gusi gigi. Eh, manalah pulak datangnya benda keras dalam sotong ni. Tak terfikirlah yang benda tu dawai kokot. Nasib baiklah tercangkuk kat daging gusi. Kalau tak, selamatlah dalam perut. Sampai hari ni, masih terasa bisa sikit kat bahagian daging gusi yang tercucuk dawai kokot tu. Nak kunyah makanan pun terpaksa berhati-hati..sudahlah gigi yang sebelah lagi dah memang problem. Hilang sekejap nikmat makan..hah..hah... 
Tak paham sebenarnya, apa fungsi dawai kokot tu dekat sotong tu. Sotong kering tu dah dibasuh bersih-bersih sebelum dibakar. Tak perasan kata ada dawai kokot kat badannya. Itulah, kengkadang orang meniaga ni fikirkan nak untung je, tanpa fikirkan keselamatan orang lain. Sabagai contoh, kuih pulut panggang, yang dibalut dengan daun tu. Kalau dulu-dulu diorang gunakan lidi untuk sematkan hujung daun tu. Tapi, sekarang ni rata-rata gunakan stapler dengan dawai kokot. Memanglah senang, tapi kan ke bahaya kalau termakan dawai kokot tu. Nak mudah pun, berpada-padalah sikit. Adakalanya, cara tradisi tu lebih baik daripada cara moden. Amatlah disyorkan kepada semua peniaga, janganlah gunakan dawai kokot semasa penyediaan pembungkusan kuih-muih atau makanan anda. Kalau kita yang dewasa ni pun boleh terlepas pandang dawai kokot tu, cuba bayangkan anak-anak kecil yang bila dapat makanan tu terus nak masuk mulut, tanpa tengok kiri kanan dah.....kes naya tu…