Friday 26 April 2013

Pentingnya Komunikasi Ibu Bapa dengan Anak


Sumber: Artikel Utusan Malaysia (25/4/2013)

KOMUNIKASI merupakan perkara penting yang menjadi pengikat hubungan kasih sayang antara ibu bapa dan anak-anak.

Komunikasi yang berkesan akan mendatangkan hasil yang baik kepada kedua-dua belah pihak. namun jika sebaliknya mungkin jurang antara ibu dan anak-anak semakin renggang dan tidak mesra. Apatah lagi anak-anak itu ibarat kain putih, ibu dan bapalah yang bertanggung- jawab mencorak masa depan mereka.
Namun, dalam mendidik anak-anak, ibu bapa harus peka terhadap perilaku dan respons anak-anak mereka. 
Ini kerana setiap anak berbeza sifat dan tindakan yang turut membentuk personaliti mereka.

Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Asmawati Desa berkata, kemahiran komunikasi adalah satu katalis dalam membantu individu mempertingkatkan kemahiran sosial mereka.

"Kebolehan dan keupayaan berkomunikasi secara berkesan dapat membantu mempertingkatkan jati diri, mengukuhkan kepercayaan dalam hubungan, memperkuatkan semangat dan daya saing selain mengeratkan hubungan antara rakan-rakan.

"Secara tidak langsung ia dapat meningkatkan kepercayaan, penghormatan dan kekaguman orang lain terhadap individu tersebut," katanya bersempena wacana isu-isu munakahat kemahiran keibubapaan di Institut latihan Islam Malaysia (ILIM) baru-baru ini.

Tambahnya, berdasarkan ilmu psikologi, terdapat lima personaliti berbeza yang terdapat pada setiap orang anak dengan perbezaan umur dan gaya hidup mereka.

"Personaliti tersebut adalah mempunyai sifat yang bersungguh- sungguh dalam setiap perbuatan yang dilakukan dan teliti, sentiasa menyenangkan, ektraversi, keterbukaan ke arah pengalaman dan neurotisme.
"Dalam kelima-lima aspek tersebut anak dengan personaliti neurotisme mempunyai sifat negatif dan kurang keyakinan diri, selain cepat berasa panik dan mudah bimbang terhadap sesuatu perkara.

"Amat penting bagi Ibu bapa mengenali personaliti anak mereka bagi memudahkan proses komunikasi," kata Dr. Asmawati.

Katanya lagi, untuk membina 'jambatan rasa' di antara anak-anak dan ibu bapa, perlakuan menyatakan sayang antara resipi berkesan yang perlu diamalkan.

Perlakuan tersebut boleh dinyatakan melalui tindakan dan ucapan yang menunjukkan kasih sayang.

"Antaranya meningkatkan masa berbual dan berkongsi cerita, berbincang secara terbuka serta sentiasa bersabar melayani kerenah mereka dan bukannya dengan memerintah.

"Ibu bapa juga seharusnya menjadikan anak-anak seperti kawan baik seperti sentiasa peka kepada minat serta kecenderungan mereka terhadap sesuatu perkara," katanya.

Dr. Asmawati berkata, dalam memastikan keberkesanan komunikasi antara kedua-dua belah pihak, terdapat empat aspek penting yang menjadi kayu ukur iaitu mendengar, bercakap, berfikir dan komunikasi bukan lisan.

Katanya, ibu bapa digalakkan mencari waktu dan suasana yang sesuai untuk berbincang dan bermesra dengan anak-anak supaya mesej serta nasihat yang diberikan diserap anak-anak dengan berkesan.

"Kaedah mendengar secara aktif dan penuh penghayatan menjadikan kita turut rasa dihargai apabila anak-anak memilih kita untuk berkongsi pengalaman dengan mereka," katanya.

Menurut Dr. Asmawati lagi, kemahiran mendengar perlu dipelajari oleh ibu bapa kerana sebanyak 60 peratus masalah dalam komunikasi adalah berpunca daripada kegagalan 'mendengar'.

"Aktiviti mendengar sering disalah erti dengan hear iaitu hanya perbuatan mendengar tanpa memahami dan merasai perasaan orang yang sedang bercakap.

"Sebaliknya, kaedah mendengar yang sebenar adalah listening , satu kemahiran yang perlu dipelajari. Ia melibatkan proses memahami apa yang di dengar dan dalam masa yang sama cuba merasai situasi penyampai tersebut," katanya.

Ujar beliau, terdapat beberapa peraturan mendengar yang efektif bagi memastikan komunikasi kedua-dua belah pihak berkesan.

Seeloknya kata Dr. Azmawati lagi, apabila anak bercakap, ibu bapa perlu berhenti bercakap dan memberi tumpuan untuk mendengar sepenuhnya maklumat yang hendak disampaikan.

Pada masa yang sama tunjukkan minat melalui isyarat bukan lisan seperti angguk, kontak mata, ekspresi muka dan sebagainya.

Lakukan kontak mata dan buatkan individu tersebut berasa selesa.

"Selain itu, elakkan tindakan yang mengganggu seperti perlakuan mengetuk-mengetuk meja, jangan menyampuk, empati dan bersabar dan tidak membuat anak tersebut berasa tidak dihiraukan," katanya.

Beliau berkata, untuk memberi kepuasan dan tidak timbul salah faham kedua-dua belah pihak, jika anak ingin menceritakan apa yang mereka rasai dan masa pula tidak mengizinkan, beritahu anak-anak bahawa perbincangan tersebut akan dilakukan kemudian.

"Dalam proses mendengar secara aktif, tujuan ibu bapa mendengar adalah benar-benar untuk berhajat membantu anak mengatasi masalah.

"Selain itu, mereka sentiasa bersedia untuk menerima pendapat anak walaupun besar kemungkinan pandangan anak adalah berbeza," kata Dr. Asmawati.

Tuesday 9 April 2013

Happy Birthday...Happy Birthday...Happy Birthday...

Alhamdulillah.... Hari ni genap sudah 6 tahun usianya nurin hana... 

Selamat hari jadi sayang.... Buah hati pengarang jantung ibu dan papa... Ibu dan papa sentiasa mendoakan yang terbaik buat nurin hana.... Ibu dan papa sayang nurin hana ketat-ketat... 


Ya Allah,
panjangkanlah umurnya..
kurniakanlah kesihatan yang baik..
terangilah hatinya dengan Nur pancaran iman-MU
dekatkan dia kepada kebaikan, jauhkan dia dari segala kejahatan
kurniakanlah kesenangan, ketenangan, kecemerlangan dan hidayah dari -MU dalam menempuh cabaran
dan liku-liku kehidupan di dunia dan di akhirat...